Sinopsis Telemovie Along ,Cerekarama Tv3



“Macam mana Along nak jaga korang kalau diri Along pun Along tak boleh nak jaga?!”Begitulah ungkapan Along kepada adik-adiknya. Sememangnya semua tanggungjawab menjaga kebajikan adik-adik dipikul Along semenjak kematian ibunya, meninggalkan mereka menjadi yatim piatu.

Sebuah karya terbitan STR8 Films Sdn Bhd di bawah arahan saudara Khalid Nadzri, telefilem ‘Along’ membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Daniel El Arash, Habiel Lutfillah, Edora Mitilda, Fizz Fairuz, Norkhiriah Shapie, Zulkifli Salleh, dan Nureen.



Telefilem ini berkisarkan tentang tiga beradik yatim piatu, Faiz (Daniel El Arash), Imran (Habiel Lutfillah) dan Mira (Edora Mitilda) dalam menghadapi dugaan kehidupan yang semakin berat. Kerana Faiz selaku Along kepada Imran dan Mira tidak bekerja, Faiz merasakan ada baiknya sekiranya adik-adiknya diambil menjadi anak angkat daripada terus hidup dalam keadaan papa kedana bersamanya.

Setelah mendaftarkan adik-adiknya di sebuah pusat kebajikan kanak-kanak, Imran diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri yang tiada anak, Taufiq dan Gayah (Fizz Fairuz dan Norkhiriah). Kehidupan Imran cumalah sederhana jika dibandingkan dengan adiknya, Mira.



Pada waktu yang sama Imran diambil daripada Faiz, Mira juga diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri yang berada, Datuk Haris dan Datin Farida (Zulkifli Salleh dan Nureen).

Ibarat air dicincang tidak akan putus, sungguhpun Imran dan Mira menjalani kehidupan senang, mereka tetap mahu tinggal bersama Faiz. Sehinggakan satu tahap di mana mereka terlalu merindui antara satu sama lain, Faiz nekad membawa adik-adiknya lari dan merancang untuk hidup bertiga.



Pelbagai dugaan dilalui mereka, berlapar, berpanas dan berhujan. Namun ketabahan dan kekuatan Faiz benar-benar teruji apabila mendapati suhu badan Mira meningkat dan Mira tidak sedarkan diri.

“Along, mana adik? Mana adik Long? . . . Adik dah pergi . . .”


Apakah nasib tiga beradik piatu ini? Dapatkah mereka teruskan hidup bergelandangan? Apa yang terjadi pada Mira? Saksikan telefilem ‘Along’, 26 Disember pada jam 9 malam dalam Slot Cerekarama.

0 Response to "Sinopsis Telemovie Along ,Cerekarama Tv3"

Post a Comment