Sinopsis Drama Setulus Janji, Adaptasi Novel



Adaptasi Novel “Setulus Janji” Mulai 17 Oktober Ini Di TV1 Temukan Cinta Azlee Khairi dan Fida Ibrahim. Mengambil tempat menggantikan drama bersiri “Dan Hati Pun Berkata” mengisi slot Widuri di TV1 sebuah lagi drama bersiri adaptasi novel “Setulus Janji” karya Aina Emir yang akan bersiaran menemui penonton mulai 17 Oktober ini, setiap Sabtu dan Ahad, pukul 7.05 petang.

Dibintangi oleh Fida Ibrahim, Azlee Khairi, Shah Iskandar, Fahrin Ahmad, Elfira Loy, Dian P.Ramlee, Nurlini Rahim dan Hafizuddin Fazil.

“Setulus Janji” mengangkat cerita yang penuh dengan ciri-ciri kekeluargaan, melakarkan nilai-nilai murni dan kasih sayang antara ahli keluarga, antara suami dan isteri, memaparkan rasa dan perasaan yang tersorok kerana sifat ‘malu’ yang ada, banyak prasangka dan salam faham yang timbul tanpa memberi kesan dalam keharmonian rumah tangga.

26 episod drama rantaian ini diselitkan dengan unsur humor, lebih berat kepada permainan perasaan antara insan-insan yang sukar meluahkan apa yang terbuku dalam hati. Cemburu, sakit hati, geram dan benci, kadang-kadang mampu untuk melemahkan segala rasa kasih dan sayang. Cerita ini akan membuatkan hati-hati di luar sana tersentuh dan menangis di atas kesedihan yang terpaksa diharungi oleh wanita benama Insyirah.

Setulus Janji membawa kita bertemu dengan watak utama Insyirah yang telah dibesarkan oleh keluarga angkat setelah kematian ibu dan bapa kandungnya. Ibu dan ayah angkat Insyirah mempunyai dua anak lelaki iaitu Ilham dan Aiman. Insyirah baru sahaja menamatkan pengajian dari sebuah universiti di Manchester, England. Dalam diam sebenarnya Insyirah bercinta dengan Aiman.

Namun segalanya berubah bila Aiman tidak menjemput Insyirah pulang di lapangan terbang. Insyirah kecil hati dan ketika itu muncul Ilham. Ilham kini merupakan seorang pakar bedah bidang ortopedik. Hubungan mereka semakin akrab dan mesra.

Hanya dengan tempoh yang singkat, Insyirah akur dengan permintaan keluarga angkatnya supaya dia berkahwin dengan Ilham. Sebenarnya sejak dulu lagi Insyirah memang menaruh hati terhadap Ilham namun ianya disembunyikan. Ketika itu juga Insyirah baru mengetahui sebenarnya Aiman ada skandal dengan bekas tuning Ilham bernama Juwita.

Kebahagian mereka melayari rumah tangga tidak lama setelah terbongkar cerita Ilham sebenarnya ‘terpaksa’ berkahwin dengan Insyirah. Insyirah merajuk namun berjaya dipujuk oleh Ilham. Ketika Insyirah baru melahirkan anak sulong mereka, Adila, tragedy berlaku dalam keluarga mereka bila Aiman kemalangan dan cedera teruk. Rumah tangga mereka kembali goyah bila Ilham menuduh Insyirah sebenarnya belum lagi melupakan Aiman yang kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Konflik berlaku bila Ilham menerima Juwita sebagai isteri keduanya. Insyirah benar-benar kecewa dan membawa diri melanjutkan pengajian di Menchester bersama anaknya. Ketika di Manchester Insyirah rapat dengan Imanina, seorang pelajar Afrika Selatan yang mirip dengannya. Insyirah juga rapat dengan Rizuan, lelaki yang pernah meminatinya.

Ilham turut menyambung pengajian di Menchester dan berusaha memujuk Insyirah menerima semula dirinya. Rasa cinta yang mendalam terhadap Ilham membuatkan akhirnya hati Insyirah kembali menerima Ilham. Tetapi dalam diam perasaan cemburunya kepada Juwita masih membara.

Namun bila pulang ke Malaysia hubungan mereka kembali kalut semula akibat berlaku banyak salah faham. Kemuncaknya bila Ilham menceraikan Insyirah kerana cemburukan Rizuan. Rizuan sebenarnya sudah berkahwin dengan Imanina.

Walaupun masih menyambung pengajian di Menchester, Insyirah memutuskan untuk terus menetap di Malaysia. Satu hari Insyirah bertemu semula dengan Ilham. Di situlah memujuk Insyirah untuk mereka rujuk kembali. Atas desakan semua orang dan mengenangkan masa depan Adila, Insyirah sanggup menerima Ilham sebagai suaminya kembali.

Satu hari Ilham terbaca surat lama yang pernah ditulis oleh Insyirah dan terbongkar cerita ‘isi hati’ Insyirah yang selama ini hanya menyintai Ilham seorang. Tidak ada Aiman atau Rizuan. Ilham terharu dan berterus-terang kepada Insyirah atas alasan apakah dia menikahi Juwita.

Apakah alasan tersebut? Adakah kebahagiaan milik mereka berdua? Ikuti kesudahannya hanya di TV1.

Promo 


0 Response to "Sinopsis Drama Setulus Janji, Adaptasi Novel"

Post a Comment