Sinopsis Drama KayaKu Kayap, Cereka Ahad Tv3


Berkisar tentang dua beradik yang mewarisi syarikat seni bina ayah mereka, mempunyai perwatakan yang jauh berbeza. Shauki (lakonan Ako Mustafa) selaku abang sulung, berperwatakan serius, bertanggungjawab dan bijak menangani masalah. Berbeza dengan adiknya Adrian (lakonan Hafizul Kamal) yang bersikap panas baran, licik, dan mata duitan.

Kisah mereka bermula apabila Dato’ Nik (lakonan Ridzuan Hashim) mendesak Adrian untuk memaksa Shauki menjual sebidang tanah pusaka mereka untuk tujuan pembinaan kondominium mewah. Shauki bermati-matian enggan menjualnya kepada Dato’ Nik kerana Shauki amat kenal dengan Dato’ Nik serta sikap ketamakan dan tipu muslihatnya.

Namun, atas usaha Dato’ Nik merasuah Adrian, Adrian terus berkasar dengan Shauki sehingga Shauki membentangkan satu tawaran yang bernilai jutaan ringgit kepada Adrian. Tawarannya adalah segala harta pusaka dan syarikat keluarga akan diserahkan sepenuhnya kepada Adrian dalam masa satu bulan. Tetapi dengan syarat selama satu bulan itu, Adrian hendaklah hidup sebagai gelandangan dan tanpa perlindungan sesiapa termasuk Shauki.

Atas desakan ketamakan Adrian, Adrian menyahut cabaran Shauki dan terus keluar dari rumah banglo mewah mereka. Kini bergelar gelandangan, Adrian bertemu dan berkawan dengan Pak Yusnor (lakonan Mubarak Majid) seorang gelandangan yang telah dibuang keluarga. Adrian menyangka akan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari apabila Dato’ Nik tidak berpuas dengan Adrian kerana gagal memberinya tanah pusaka Shauki. Tiba-tiba segalanya menjadi gelap dan berdarah buat rakan-rakan gelandangan Adrian.

Bagaimana pula dengan nasib Adrian? Adakah Adrian turut dipukul atau dibunuh oleh Dato’ Nik? Turut dibintangi oleh Izara Aisyah dan Julia Ziegler, anda pasti duduk di hujung kerusi dengan telefilem ‘Kaya Ku Kayap’ pada 11 Oktober, jam 10.30 malam dalam slot Cereka Ahad.

0 Response to "Sinopsis Drama KayaKu Kayap, Cereka Ahad Tv3"

Post a Comment